Chinese
Color
Orange
Black
Blue
Purple
Green
Deep Blue
Laman Utama
Forum
Fokus
Semasa
Gosip Socmed
Infozon
tularsuara
Search
919
View
0
Reply

Obses mengumpul kereta Hot Wheels

[Copy link]

Author: lanesra       Show all posts   Read mode

Author
Post time 21-5-2019 11:52 AM | Show all posts |Read mode
Edited by lanesra at 21-5-2019 11:54 AM




MENJADI kebiasaan kepada Yazid Mohd. Arif, 29, untuk pergi ke bahagian menjual mainan sekiranya dia mengunjungi pusat beli-belah.

Tujuannya ke bahagian tersebut hanya satu iaitu ingin melihat model-model miniatur kereta atau lebih mudah dipanggil diecast Hot Wheels yang dijual di situ.

Jika ada yang menarik dan masih belum ada dalam koleksi simpanan, saya pasti akan membeli miniatur kereta Hot Wheels ini.

Mengumpul koleksi Hot Wheels ini memberi kepuasan yang tersendiri kepada saya. Ini kerana sejak kecil lagi saya sudah berminat dengan kereta, kata anak kelahiran Perak ini kepada K2 baru-baru ini.

Hot Wheels ialah jenama bagi miniatur kereta yang terkenal di dunia.

Dihasilkan oleh syarikat Mattel pada tahun 1968, Hot Wheels diminati oleh golongan lelaki tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa. Saiz kereta mini itu kira-kira enam hingga lapan sentimeter.

Yazid menjelaskan, dia sememangnya obses dalam mengumpul kereta Hot Wheels.

Kini dia telah mengumpul lebih 3,000 unit kereta mainan tersebut.

Saya sendiri tidak dapat menghitung berapa jumlah wang yang telah dibelanjakan untuk mengumpul koleksi kereta ini, katanya yang bekerja sebagai jurujual kereta.

Dalam pada itu, Yazid menjelaskan, minatnya terhadap Hot Wheels bermula sejak di bangku persekolahan lagi.

Dia mengetahui akan kewujudan miniatur kereta tersebut melalui iklan-iklan Hot Wheels yang disiarkan di kaca televisyen.

Pada ketika itu saya masih di bangku sekolah dan tidak mampu untuk membelinya. Adakalanya saya akan menyimpan duit sekolah untuk membeli kereta-kereta ini.

Harga miniatur kereta Hot Wheels pada ketika itu ialah sekitar RM5 seunit, jelasnya.

Sebaik tamat persekolahan dan mula bekerja, dia mula aktif untuk mengumpul koleksi kereta tersebut.

Namun, dirinya semakin serius menjadi pengumpul Hot Wheels sejak tujuh tahun lalu setelah mengenali kumpulan pengumpul Hot Wheels.

Apabila melihat koleksi Hot Wheels yang pelbagai, ia membuatkan saya semakin berminat untuk mengumpulnya.

Sejak dari itu saya tidak lokek untuk berbelanja bagi mendapatkan koleksi-koleksi kereta mini Hot Wheels ini, katanya.

Pelbagai koleksi miniatur kereta Hot Wheels terdapat di pasaran.

Jenama

Bagi Yazid, dia gemar mengumpul koleksi-koleksi kereta yang kini berada di jalan raya dan kereta lama.

Antara koleksi kereta yang saya kumpul adalah kereta-kereta yang diperbuat sekitar tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an.

Koleksi-koleksi kereta ini merangkumi jenama seperti Honda, Mitsubishi, Toyota dan lain-lain lagi, jelasnya.

Tambah Yazid, kini harga jualan untuk miniatur kereta Hot Wheels bermula pada harga RM9.90.

Pun begitu, harganya boleh meningkat berkali ganda jika kereta yang dikeluarkan itu edisi terhad.

Yazid menegaskan, terdapat kereta Hot Wheels model Datsun Bluebird yang mencapai harga sehingga RM1,800 kerana had pengeluarannya hanya 3,000 unit di seluruh dunia.

Harga sesebuah miniatur kereta ini akan melambung tinggi jika ia terhad dari segi pengeluarannya selain sukar untuk mendapatkannya.

Ada juga pengumpul-pengumpul Hot Wheels yang menjual kereta mininya itu jika mendapat permintaan harga yang tinggi, katanya sambil memberitahu kereta Hot Wheels termahal pernah dibelinya adalah pada harga RM200.

Tukar rim

Yazid menambah, dia bukan sahaja mengumpul miniatur kereta Hot Wheels malahan turut menyediakan perkhidmatan menukar rim dan tayar kereta mini tersebut.

Kebanyakan pengumpul miniatur kereta Hot Wheels ini akan menukar rim dan tayar kereta mainan tersebut bagi membolehkan ia kelihatan lebih menarik.

Pengumpul-pengumpul Hot Wheels ini akan memadankan kereta mereka dengan rim dan tayar tertentu untuk menjadikannya lebih menarik.

Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan tersebut sejak 2016, katanya.

Tambahnya, pada ketika itu tidak ramai yang menyediakan perkhidmatan sebegitu kerana jika tersilap melakukannya kereta itu boleh rosak.

Yazid sendiri telah merosakkan lebih 200 unit kereta Hot Wheels miliknya sendiri ketika mula-mula belajar untuk menukar rim serta tayar miniatur itu.

Ia berikutan proses penukaran tayar dan rim itu termasuklah menebuk bahagian tertentu kereta. Jika tersilap dilakukan, kereta yang dibuat modifikasi itu boleh punah.

Katanya, harga upah yang dikenakan untuk perkhidmatan tersebut adalah RM5 untuk sebuah kereta.

Sementara itu, Yazid menjelaskan, kebiasaannya pengumpul-pengumpul Hot Wheels akan berhimpun di beberapa tempat bagi bertemu antara satu sama lain dan membeli atau menjual koleksi-koleksi kereta yang dimiliki.

Selalunya setiap minggu pada hari Isnin kami akan berkumpul di Kota Damansara, hari Selasa di Puchong, hari Rabu di Gombak dan hari Khamis di Melawati.

Pada perjumpaan inilah saya mengambil kesempatan untuk membuka meja dan menyediakan perkhidmatan modifikasi rim dan tayar, jelasnya.

Dalam pada itu, bagi pengumpul Hot Wheels, Hawary Hashim, 48, yang merupakan seorang pramugara, dia mula meminati hobi tersebut setelah kawan-kawannya selalu meminta membelikan Hot Wheels ketika dirinya ke luar negara.

Sewaktu saya berada di Jepun, rakan-rakan meminta saya untuk mencari kereta Hot Wheels di sana kerana ada yang sukar untuk didapati di Malaysia.

Pada masa sama, saya juga membeli untuk dijadikan koleksi simpanan sendiri. Lama kelamaan koleksi Hot Wheels dalam simpanan saja semakin banyak, katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Kini kereta Hot Wheels yang ada dalam simpanannya berjumlah lebih daripada 300 unit dan Hawary telah membelanjakan lebih RM4,000 untuk hobinya itu.

Serius

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu menjelaskan, anak-anaknya turut memiliki hobi yang sama dengannya.

Sebelum ini anak-anak saya gemar mengumpul patung mainan Transformers dan harganya boleh dikatakan agak mahal.

Namun setelah saya mengumpul kereta mainan Hot Wheels, minat mereka sudah beralih arah dan kini kami bersama-sama memiliki hobi yang sama, jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengumpul Hot Wheels. Syazrel Rozani, 27, berkata, minatnya itu bermula sejak dua tahun lalu.

Pada ketika itu, saya sering melihat kawan-kawan mencari dan mengumpul koleksi kereta Hot Wheels.

Jadi saya terikut sama dan akhirnya serius untuk menjadi pengumpul koleksi kereta Hot Wheels ini, katanya.

Syazrel menambah dia bukan sekadar mengumpul malah turut menjual koleksi Hot Wheels kepada pengumpul-pengumpul yang lain.

Dia juga membeli koleksi-koleksi Hot Wheels dari luar negara seperti Amerika Syarikat secara online dan kemudian menjualnya semula kepada penggemar Hot Wheels.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register | Facebook Login

Points Rules

 CARI App
Get it FREE Google play
 Twitter
 Instagram
cari_infonet
FOLLOW
Copyright © 1996-2020 Cari Internet Sdn Bhd All Rights Reserved(483575-W)
Private Cloud provided by IPSERVERONE
Advertise with us
Quick Reply To Top Return to the list