Chinese
Color
Orange
Black
Blue
Purple
Green
Deep Blue
Laman Utama
Forum
Fokus
Semasa
Gosip Socmed
Infozon
tularsuara
Search
Medal khas "Senior Forumer" untuk yang daftar CARI dari tahun 2001 hingga 2010 sahaja. Untuk tebus, sila klik disini
785
View
0
Reply

Berdakwah mengenai akidah

[Copy link]

Author: Raline       Show all posts   Read mode

Author
Post time 8-9-2021 07:24 PM | Show all posts |Read mode
Berdakwah mengenai akidah


TIADA ibadat ditujukan selain daripada Allah SWT. FOTO Arkib NSTP

Syeikh Muhammad Said bin Umar (wfat1932M) adalah salah seorang mufassir atau ulama tafsir tersohor di alam Nusantara. Beliau dilahirkan pada 1275 Hijrah di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah.

Syeikh Muhammad Said adalah antara seorang ulama kelahiran Kedah yang berpengaruh di zamannya. Pernah bertugas sebagai salah seorang penggerak pentadbiran agama Islam dengan tugasnya sebagai kadi di Jitra, Kedah.

Dalam dunia pengajian, beliau berpengalaman menuntut ilmu di Pondok Bendang Daya, Patani dan seterusnya melanjutkan pengajian di Makkah. Syeikh Muhammad Said wafat pada 1932 Masihi bersamaan 1351 Hijrah dan  disemadikan di Masjid Alor Merah, Alor Setar, Kedah.

Tafsir Nur al-Ihsan adalah sumbangan penulisan terbesar yang ditinggalkan dan sehingga kini masih dapat ditelaah pencinta ilmu wahyu. Kitab ini mula ditulis pada Zulhijjah 1344 Hijrah bersamaan Januari 1925 Masihi.

Kitab ini memakan masa selama dua tahun sembilan bulan dan selesai ditulis pada 4 Rabiul Akhir 1346 Hijrah bersamaan 1 Oktober 1927 Masihi iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibn Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.

Tafsir Nur al-Ihsan dimulakan dengan bab mukadimah dan pentafsiran Surah al-Fatihah sebagaimana yang sering diamalkan dalam kitab-kitab tafsir ulung. Pentafsiran   Surah al-Fatihah dimuatkan dalam dua halaman sahaja.  Setiap ayat ditafsirkan dalam keadaan sederhana tanpa mengaitkan perbahasan aspek bahasa Arab, khilaf aliran akidah dan tanpa iringan pelbagai pendalilan syarak.

Penekanan perihal akidah begitu ketara dalam pentafsiran Surah al-Fatihah yang menjadi wadah permulaan Tafsir Nur al-Ihsan.

Syeikh Muhammad Said menyeru perihal akidah dalam setiap ayat tanpa terkecuali. Pendekatan ini bersesuaian dengan makna umum dan khusus yang terkandung dalam seluruh ayat Surah al-Fatihah itu sendiri.

Pengarang memulakan pentafsiran dengan menyatakan segala ayat al-Quran bertitik tolak daripada ayat pertama Surah al-Fatihah. Pengajaran makna ayat pertama memaparkan bahawa ingatilah nama Allah selaku Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Benar. Begitu juga hayatilah nama dan sifat kemuliaan-Nya. Syeikh Muhammad Said turut menerangkan bahawa setiap Muslim perlu mengetahui lanjut tentang ketuhanan untuk mengenal Allah SWT.

Dalam pentafsiran ayat ke-2 Surah al-Fatihah, Syeikh Muhammad Said mentafsirkan: "Segala puji-pujian itu bagi Allah Tuhan yang menjadikan sekalian alam daripada manusia dan jin dan malaikat dan segala bintang darat dan laut dan langit bumi dan lainnya."

Penekanan akidah dinyatakan dalam huraian ringkas bahawa Allah SWT adalah  Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Penciptaan Ilahi bukan sekadar alam yang sedia didiami manusia bahkan melibatkan pelbagai bentuk alam yang tidak dapat dilihat atau dicapai pancaindera manusia.

Pentafsiran ayat ke-3 Surah al-Fatihah tertumpu pada aspek kalimah al-Rahman dan al-Rahim. Al-Rahman merupakan nama Allah SWT  yang membawa maksud Tuhan Yang Maha Pemurah di dalam mengatur pemberian nikmat di dunia. Al-Rahim pula  nama Allah SWT  yang membawa maksud Tuhan Yang Maha Pengasih kepada hamba-hamba-Nya yang beriman di alam akhirat.

Dalam mentafsirkan ayat 4 Surah al-Fatihah, Syeikh Muhammad Said menekankan aspek kepercayaan di alam akhirat. Beliau mentafsirkan: "Tuhan yang memiliki hari balasan iaitu Hari Kiamat kerana tiada memiliki padanya melainkan Allah semata-mata." Dalam mengukuh kefahaman akidah, Syeikh Muhammad Said mengulas perbezaan pihak yang berkuasa di dunia dengan Allah SWT  sebagai penguasa sebenar. Beliau menyatakan: "Dan adapun pada dunia maka pada zahir ada memiliki raja-raja maka pada hakikatnya tiada yang memiliki dunia dan akhirat melainkan Allah semata-mata."

Pada pentafsiran ayat yang ke-5 Surah al-Fatihah, Syeikh Muhammad Said memtafsirkan ayat dengan dua bahagian. Bahagian pertama; iyyaka nu'budu membawa makna bahawa Allah sahajalah Tuhan yang disembah dalam segenap 'ubudiyyah atau ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji serta segala ibadah yang dituntut dalam kehidupan.

Tiada ibadat ditujukan selain daripada Allah SWT.

Pada bahagian kedua; iyyaka nasta'in membawa maksud dalam setiap permintaan, hajat dan pegangan iktikad perlu dilaksanakan hanya kepada Allah SWT . Pada bahagian ayat ini, Syeikh Muhammad Said mengulas panjang dalam aspek akidah berbanding ayat Surah al-Fatihah yang lain. Beliau menekankan dalam memohon kepada Allah SWT, seseorang itu wajib secara mutlak mempunyai tauhid, perasaan takut, bersungguh-sungguh mengharap natijah dan mengemukakan permohonan dengan penuh ikhlas. Perkara ini turut dibuktikan dengan banyak mengingati Allah SWT  menerusi zikir lisan dan hati pada sepanjang masa.

Di samping menyentuh aspek akidah, pentafsiran ayat juga menyentuh aspek tasawuf. Beliau menyatakan bahawa kesan daripada memahami tuntutan ayat maka hati akan menjadi bersih dan layak dianugerahkan perlindungan Tuhan. Syeikh Muhammad Said mengemukakan sepotong ayat al-Quran mengenai celaan memiliki hati yang buta, firman Allah SWT:  "...tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (ayat 46 Surah al-Haj)

Syeikh Muhammad Said terus mentafsirkan dengan aspek tasawuf pada hujung pentafsiran ayat 5 Surah al-Fatihah. Beliau menegaskan bahawa gejala hati buta ialah kerana banyak melakukan dosa dalam percakapan dan gemar melakukan maksiat. Wajar untuk memastikan hati kembali bersih daripada noda kehitaman dengan mengamalkan zikr Allah (mengingati nama dan ajaran Tuhan).

Dalam pentafsiran ayat ke-6 Surah al-Fatihah, Syeikh Muhammad Said menyatakan bahawa ayat ini menuntut agar orang yang beriman perlu sentiasa memohon jalan yang benar. Mereka juga perlu memohon kepada Allah SWT  agar ditambahi lagi hidayah atau paling kurang dikurniakan hidayah agar dapat tetap kekal di atas pegangan agama Islam.

Pada ayat terakhir Surah al-Fatihah, Syeikh Muhammad Said memulakan pentafsiran dengan menyebut: "Jalan segala mereka yang telah Engkau nikmat atas mereka itu empat firqah daripada segala anbiya' dan siddiqin dan shuhada' dan solehin." Untuk memahami ayat, beliau menyenaraikan empat firqah atau empat kelompok besar kalangan manusia yang beriman yang beroleh sirat atau dengan makna nikmat dan petunjuk:

Anbiya': golongan yang dilantik menjadi Nabi.

Siddiqin: golongan yang benar pada perlakuan zahir dan amalan batin terhadap Allah dan manusia.

Shuhada': golongan Muslim yang mati di medan pertempuran dengan kafir demi meninggikan agama Islam.

Solehin: golongan yang tidak meninggalkan ketaatan dan tidak melakukan maksiat.

Terdapat dua golongan manusia yang terkecuali daripada mendapat nikmat dan petunjuk disebabkan krisis akidah yang mereka sendiri lakukan. Pertama golongan yang dimurkai Tuhan secara khusus ialah golongan Yahudi. Kedua; golongan yang sesat secara khusus ialah golongan nasrani yang sesat dan juga mana-mana golongan yang sesat di kalangan manusia.

Syeikh Muhammad Said menyatakan sedemikian dengan menyandarkan kepada pendapat sebahagian ulama bahawa golongan yang sesat terdiri daripada kelompok manusia yang memilih jalan kufur seperti pengamal ajaran kafir dan golongan munafik.  

Pentafsiran Surah al-Fatihah dalam kitab Tafsir Nur al-Ihsan adalah bersifat sederhana tanpa melibatkan perbahasan akidah yang panjang. Meskipun demikian, Syeikh Muhammad Said sering menyeru perihal akidah dalam setiap ayat Surah al-Fatihah. Mendalami pentafsiran ayat demi ayat dapat membantu memahami tuntutan akidah yang tertera pada pendahuluan al-Quran al-Karim.

Seruan akidah mempunyai banyak kesamaan fakta daripada kitab seperti Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Maraghi. Kitab-kitab ini juga menekanan soal akidah untuk dimanfaatkan masyarakat awam. Ternyata pentafsiran Syeikh Muhammad Said telah merujuk sumber ilmu yang muktabar.

Seruan akidah bertepatan dengan aliran akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Pentafsiran Surah al-Fatihah memaparkan mesej pujian, harapan, ibadat dan perlindungan adalah wajib ditujukan secara mutlak kepada Allah SWT.

Tiada keharusan untuk menghalakan sebarang iktikad kepada selain-Nya.

Untuk merealisasikan mesej Surah al-Fatihah, formula mudah ialah mana-mana Muslim perlu berpegang teguh kepada Rukun Iman. Dengan pegangan ini, akidah akan terpelihara dan dikira sedia mengamalkan intipati Surah al-Fatihah mengikut perspektif Syeikh Muhammad Said.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register | Facebook Login

Points Rules

 CARI App
Get it FREE Google play
 Twitter
 Instagram
cari_infonet
FOLLOW
Copyright © 1996-2021 Cari Internet Sdn Bhd All Rights Reserved(483575-W)
Private Cloud provided by IPSERVERONE
Advertise with us
Quick Reply To Top Return to the list